Kamis, 13 Februari 2014

November 09, 2012
KUALA LUMPUR, 9 Nov — Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru menyatakan kesediaan untuk menyediakan khidmat guaman kepada akhbar Utusan Malaysia, sekiranya Nurul Izzah Anwar mengemukakan saman terhadap akhbar milik Umno itu kerana mensensasikan isu yang mendakwa naib presiden PKR itu "menyokong" kebebasan beragama untuk Melayu-Islam di negara ini.

Datuk Zulkifli Noordin (gambar), ketika dalam Forum Kebebasan Bertukar Agama dari sudut Islam dan Perlembagaan Persekutuan di Kg Baru malam tadi menegaskan, pihaknya juga akan memberikan "kejutan" kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya mereka mengumumkan barisan peguam kanan yang telah pun menyatakan kesediaan untuk membela Utusan Malaysia di mahkamah.

"Saya baru berbincang dengan peguam kanan untuk mempertahankan Utusan Malaysia jika disaman.
"Saya bersedia jadi peguam untuk Utusan Malaysia tanpa bayaran ... dan saya nak beritahu Anwar, Nurul Izzah, Ente akan terkejut beruk siapa yang akan pertahankan Utusan Malaysia," katanya dalam forum anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) itu.
Jelasnya lagi, tindakan yang dibuatnya itu bukan hanya semata-mata mempertahankan media tersebut, sebaliknya bertujuan menyelamatkan dan mempertahankan masyarakat Melayu dan Islam kerana akhbar itu tegasnya menjadi lidah rasmi perjuangan mempertahankan Islam.

"Kami bukan mempertahankan Utusan Malaysia, kami mempertahankan Melayu, Islam," katanya.
Nurul Izzah dijangka akan ke pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) jam 11 pagi nanti untuk memberikan penjelasan berhubung tindakan Utusan Malaysia mensensasikan kenyataannya dalam satu forum baru-baru ini yang didakwa menyokong masyarakat Melayu beragama Islam bebas memilih agama.
Anak kepada ketua pembangkang itu juga telah menyatakan akan mengambil tindakan perundangan terhadap Utusan Malaysia, Berita Harian, termasuk beberapa blog kerana mendakwa kenyataannya telah disalahtafsirkan.

Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan antara ciri-ciri Melayu adalah boleh bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat resam Melayu, dan juga beragama Islam.
Kenyataan yang didakwa dibuat Nurul Izzah itu mendapat respon negatif pelbagai pihak kerana komuniti Melayu di negara ini meliputi 60 peratus daripada 28 juta keseluruhan rakyat Malaysia.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan yang dibuat Nurul Izzah tersebut.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali ketika sidang media selepas forum yang dihadiri sekitar 500 hadirin itu juga berkata akan cuba untuk membawa isu berkenaan kepada pengetahuan Majlis Raja-Raja.
Selain Zulkifli, ahli-ahli panel forum itu adalah, Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hassan Ali, Presiden ISSI, Dr Yusri Mohamad, Presiden Muafakat, Ismail Mina Ahmad dan Pensyarah Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Dr Ridhuan Tee Abdullah selaku moderator.
Turut hadir adalah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Fuad Hassan. 
The Malaysian Insider

0 komentar:

Posting Komentar

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!