Sabtu, 28 Desember 2013


BANGI – Isteri Pengiran Muda Mahkota Brunei Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Salleh melawat Pusat Permata Pintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Pengiran Anak Isteri turut disertai putera baginda, Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, isteri Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia Datin Mastura Awang dan isteri Menteri Pertahanan Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dalam ucapannya semasa meraikan ketibaan Pengiran Anak Isteri serta delegasi berkata, lawatan itu diharap membuka peluang kepada kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan pintar.

“Kerjasama ini boleh dilakukan dalam program mobiliti pelajar dan kakitangan akademik, penyelidikan, penerbitan dan banyak lagi,” katanya.

Pengiran Anak Isteri kemudiannya mendengar taklimat daripada Timbalan Pengarah Pusat Permata Pintar Negara Prof Madya Dr Melor Md Yunus mengenai program Permata Pintar yang dinaungi isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam lawatan itu, Pengiran Anak Isteri turut melawat makmal di mana beberapa pelajar memberi penerangan mengenai uji kaji yang dijalankan selain melihat proses pembelajaran di Pusat Permata Pintar Negara.

Pengiran Anak Isteri dalam rangka lawatan rasmi lima hari ke Malaysia, mengiringi Pengiran Muda Mahkota Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Lawatan sejak 8 Nov itu diadakan bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Brunei dan Malaysia selain memantapkan lagi kerjasama dalam bidang pertahanan serta ekonomi. – BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!